LAGU-LAGU SEARCH DIKELUARKAN DALAM FORMAT MP3

AddThis Social Bookmark Button
imageNEWS

LAGU-LAGU SEARCH DIKELUARKAN DALAM FORMAT MP3

Setelah Search menghargai para peminat yang menyokong kewujudan mereka selama ini dengan mengadakan 'Konsert Fenomena Search 30 Tahun' di lima buah negeri hujung tahun lalu, kini giliran peminat mereka pula merakamkan sumbangan kepada ikon rock negara kita ini! Peminat setia Search yang berbuat demikian ialah Adimus Putra Mustafa, membalas jasa kumpulan tersebut dengan mengeluarkan lagu-lagu terpilih dari semua album dan dimuatkan dalam bentuk MP3. Ia merupakan satu keluaran rasmi Search diberi judul  'Search XXX Anniversary 1981-2011' yang diterbitkan di bawah syarikat milik Adimus,  Hooray Marketing Sdn. Bhd.

Produk tersebut akan dilancarkan pada 16 April 2012 dengan memuatkan 101 lagu dan dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja. Boxset tersebut yang dijual pada harga RM333 setiap satu adalah hadiah istimewa buat peminat mereka dalam tahun ini. Pembelian boleh dibuat  melalui online di http://www.fenomenasearch.com.

Bookset MP3  "Search XXX Anniversary 1981-2011" ini dilengkapi 1unit mp3,Charger, Earphone,Remote Control dan Booklet. [Credit: Dunia Search]



"Ini adalah sebuah item koleksi para peminat tegar Search. Kami bekerjasama dengan empat buah kilang di China dan sebuah kilang di Malaysia untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Harga MP3 Search ini amat berpatutan dengan jumlah lagu dan reka bentuk kotak yang boleh menjadi hiasan rumah. MP3 ini akan dijual di kedai-kedai kaset CD dan laman-laman web," ujar Adimus mengenai MP3 berkenaan dan istimewanya produk tersebut memuatkan sebuah lagu bonus 'Kejoraku Bersatu' yang asalnya dinyanyikan Moq Rampage dirakamkan semula di Studio Roggeng, Luncai Emas, Selangor. Lagu tersebut mendapat sentuhan Dato' M. Nasir iaitu individu yang banyak mencorakkan perjalanan Search sejak album pertama lagi. MP3 ini hanya sebagai permulaan untuk tahun ini kerana selepas ini akan disusuli lagi dengan produk terbaru Search dalam bermacam-macam bentuk. Search memulakan titian baru perjalanan kariernya menempuh era milenium dengan MP3 ini.


Search di muka depan Majalah Karisma Edisi 19. Anda boleh melanggan edisi ini secara online jika berminat!

BERIKUT ADALAH 45 FAKTA SEARCH YANG DISIARKAN SECARA EKSKLUSIF OLEH KARISMA di Edisi ke-19 [Sumber: Dunia Search]

1. Bunyi efek kereta dalam lagu 'Kereta Merah' diambil daripada 'sampling' bunyi kereta Ferrari yang terdapat dalam sekeping CD 'sound effect' kepunyaan Yazid bertujuan memantapkan lagi lagu tersebut.

2. Pertama kali Amy membuat persembahan di hadapan khalayak ramai adalah pada sebuah majlis perkahwinan di Kota Tinggi. Lagu yang dinyanyikan olehnya pada majlis tersebut ialah 'Hotel California'.

3. Sebelum ditawarkan menyertai Search, Din merupakan pemain gitar kumpulan Hurricane. Antara ahli kumpulan Hurricane pada masa itu ialah adik Yazid yang juga bermain  dram, Zahid Ahmad. Sesi uji bakat untuk Din diadakan di The Red Roosters Club pada sebelah siang dan beliau menggunakan sebuah gitar jenama Aria Pro semasa sesi tersebut.

4. Semasa bermain di Hard Rock Cafe, pihak pengurusan kelab tersebut memberi peluang kepada anggota Search membeli peralatan muzik yang baru. Mereka kemudian ke Singapura membeli peralatan yang diingini. Man Kidal serta Din memilih gitar Gibson Flying V dan amplifier Marshall. Menurut Din, gitar tersebut digunakan secara keseluruhan untuk rakaman album 'Cinta Buatan Malaysia'.

5. Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pernah menobatkan Search pada 1987 sebagai pemenang kategori Penyanyi Berkumpulan Popular. Melalui anugerah itu yang diperkenalkan pada 1987 dengan nama Anugerah Pelakon/Penyanyi Popular 1987 (APPP87), Search mendapat 178,483 undi mengalahkan Alleycats, Freedom, Lefthanded, Sons of Adam dan Headwind.

6. Lagu 'Manusia Reptilia' yang berdurasi 6:50 minit merupakan lagu terpanjang pernah dirakamkan Search. Sementara lagu 'Mata Kucing' merupakan lagu terpendek pernah dirakamkan. Lagu yang berdurasi 2:50 minit itu juga merupakan satu-satunya lagu yang berdurasi kurang dari tiga minit pernah dirakamkan oleh mereka.

7. Lagu 'Nirmala' yang terdapat dalam album 'Rampage' merupakan satu- satunya lagu tanpa dihiasi dengan gitar, dram dan bass. Lagu hits tersebut cuma memasukkan kehadiran piano dan kibod untuk menghiasi lagu berkenaan.

8. Semasa Search merakamkan album 'Mentari Merah Diufuk Timur' Di Lion Studio, Singapura, mereka telah berjumpa dengan jurutera bunyi Def Leppard, yang menjadi jururakam untuk album 'Pyromania'. Album itu yang memuatkan lagu hits 'Foolin'. Kebetulan Def Leppard dan Search pada masa itu bernaung di bawah label yang sama iaitu Polygram Records dan Search meminta kebenaran Def Leppard untuk merakam kembali lagu 'Foolin' dengan menggunakan khidmat jurtera bunyi tersebut dengan peralatan yang sama digunakan semasa rakaman 'Pyromania'. Kemudian terhasil lagu 'Berpaling' dan'engineer' tersebut kalau tidak silap bernama Mike Shipley.

9. Lagu 'Mata Kucing' dari album 'Rock N Roll Pie' ciptaan bersama Din dan Man Bai (bekas vokalis Gersang) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya.

10. Dalam album 'Bikin Wilayah' semua lagu ciptaan Search dirakamkan dahulu diikuti lagu-lagu ciptaan sifu M. Nasir.

11. 'Bikin Wilayah' merupakan album projek dengan Awie. Diterbitkan pada tahun 1998 dan dirakamkan di Menora Studio Setapak .Trek untuk bahagian ritmanya dirakam hanya dalam masa tiga hari sahaja oleh Din. Studio itu kini menjadi milik Joe Wings.

12. Dalam pertandingan akhir Juara Lagu 1989, lagu 'Isabella' terpilih sebagai Juara dengan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta piala pusingan dan set karaoke RQ 12. Untuk kategori Persembahan Terbaik pula Search memenangi wang tunai sebanyak RM 3,000, piala dan set karaoke RQ12  manakala kategori Lirik Terbaik pula, Bob Lokman mendapat hadiah wang tunai RM2,000, piala dan set karaoke RQ12.

13. Penganjur konsert rock tersohor, Ali Bakar penah menyatakan tiga konsertnya di Stadium Negara pada era '80-an dan '90-an yang mencatat kutipan tertinggi dengan jualan tiket mencecah 10,000 keping setiap satu konsert ialah konsert 'Battle Of The Bands', konsert 'Fantasia Search' dan konsert Rusty Blade dan Wings. Konsert Fantasia Search pada September 1987 menduduki tangga kedua dengan kutipan RM 90,000 berdasarkan jualan tiket berharga RM5, RM10 dan RM15. Artis undangan untuk konsert itu ialah Sons Of Adam, Bumi Putra Rockers (BPR) dan Kopratasa.

14. Sebelum mengeluarkan album 'Cinta Buatan Malaysia, Search yang awalnya dikenali sebagai The Search muncul dalam sebuah rancangan ala MTV terbitan TV3. Dalam rancangan itu The Search mendendangkan dua buah lagu iaitu 'Rock You Like A Hurricane' (Scorpions) dan 'Jump' (Van Halen). Ketika itu belum ada larangan berambut panjang. Pihak media massa pula merujuk Search sebagai The Search.

15. Menerusi 'Cinta Buatan Malaysia', Yan telah munyumbangkan vokalnya untuk lagu 'Jiwa-jiwa Luka' dan 'Cinta Pertama'. Dalam satu temubual berkaitan perkara ini dan ditanya bagaimana beliau boleh menyanyi untuk dua buah lagu itu, Yan menjawab, "Nasir (M. Nasir) yang suruh. Saya tidak tahu apa yang ingin beliau buktikan. Saya hanya nyanyi sepertimana yang disuruh."

16. Search telah menghasilkan beberapa video sama ada dalam bentuk VHS, Video CD dan DVD. Video pertama dalam bentuk VHS ialah 'Konsert Kesyukuran' yang dirakam dan dikeluarkan pada 1989. Video CD pertama 'Konsert Gema Di Timur Jauh Unplugged' pada 1995. Sempena konsert reunion Search setelah beberapa tahun 'dibekukan', Search mengeluarkan visual pertamanya dalam DVD berjudul 'Konsert Evolusi Search' pada 2004. DVD terkini yang dikeluarkan ialah konsert 'Double Trouble Live In JB' pada Oktober 2010.

17. Lagu 'Sirih Gambir' merupakan lagu pertama yang dirakamkan Search untuk 'Cinta Buatan Malaysia'. Lagu tersebut menjadi pilihan kerana Search sering memainkannya di kelab-kelab malam sebelum itu dan ini memudahkan mereka membuat kerja-kerja rakaman iaitu secara live untuk lagu berkenaan. Asalnya lagu itu adalah milik The Kinks berjudul 'You Really Got Me'.

18. Idea untuk memulakan 'intro' di pangkal lagu 'Isabella' dengan gentelan gitar bass dicadangkan oleh M. Nasir yang inginkan suatu kelainan berbanding lagu lain yang biasanya dimulakan dengan gitar atau dram. 'Intro' tersebut terlaksana melalui petikan spontan yang dicipta M. Nasir semasa proses merakamkan lagu berkenaan.

19. Mengikut perancangan asal, sepatutnya lagu 'Kepala Angin', 'Di Pintu Sepi', 'Gadis Ayu', 'Jendela Asmara' dan 'Setelah Hujan' dimuatkan dalam album 'Fenomena'. Apabila pihak Polygram mengeluarkan album 'Di Pintu Sepi' maka M. Nasir mengambil tindakan mahkamah dengan menyekat pengeluaran album tersebut. Hasil daripada konflik ini, beberapa perubahan dilakukan dalam 'Fenomena'. Ada beberapa lagu tetap dikeluarkan dalam album itu dan ada pula yang digantikan dengan lagu lain seperti 'Isabella' dan 'Jendela Asmara' ditukar kepada 'Gadis Misteri'.

20. Album 'Rampage' tidak di lancarkan di Malaysia. Album yang penuh dengan idea-idea ' advance' ini pada asalnya dirancang pelancarannya secara rasmi pada 1 Mei 1992 di Indonesia sekali gus dengan sebuah konsert di Stadium Teladan, Medan, Indonesia. Bagaimanapun pelancarannya ditunda bagi memberi laluan untuk pilihan raya Indonesia yang berlangsung dalam bulan sama. Ia kemudian dilancarkan pada 14 Mei 1992 di Indonesia. Dua hari selepas itu mereka menemui peminat-peminat di Malaysia. Konsert jelajah 'Rampage Indonesia' pula diadakan pada sekitar Julai.

21. Ketika merakamkan album 'Karisma', pada mulanya Search mahu meletakkan 'Melastik Ke Bintang' sebagai tajuk album tersebut. Namun setelah merasakan tajuk tersebut mempunyai maksud sesuatu yang mustahil untuk dicapai, akhirnya Search bersepakat memilih 'Karisma' iaitu membawa pengertian 'daya personaliti yang kuat' sebagai tajuk album. Sebanyak 17 lagu dirakamkan semasa pembikinan album tersebut tetapi hanya 10 lagu terbaik dipilih untuk dimuatkan dalam 'Karisma'.

22. M. Nasir dalam tulisannya pada tahun 2000 berkaitan Search pernah menyatakan, "Sebaik sahaja Search memainkan lagu 'Stairway To Heaven' yang merupakan lagu Led Zeppelin, walaupun tidak berapa kedengaran dan faham apa yang disebut Amy, saya berfikir rock buatan mereka sudah cukup buat Malaysia."

23. Konsert 'Rock N Roll Pie: Live N Loud' berlangsung pada 20 Disember 1996 dengan penampilan Amy membotakkan kepalanya. Konsert yang dianjurkan oleh Nasir melalui Dangaroos turut mengundang Wings (era Mus) sebagai band pembukaan. Konsert ini awalnya dirancangkan pada 21 Disember tetapi dipercepatkan sehari bagi mengelakkan pertembungan dengan jadual perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia, Selangor lawan Sabah. Menariknya untuk menghargai peminat mereka, sesiapa yang menyambut hari kelahiran dan tarikh ulang tahun perkahwinan pada tanggal 15 Disember dan 20 Disember berpeluang mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan konsert ini. Tarikh 15 itu adalah sempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan Search ketika itu.

24. 'Rampage' mencatat sejarah sebagai album pertama yang diterbitkan sepenuhnya oleh Search. Dua buah lagi album yang mana Search menjadi penerbit ialah 'Rock N Roll Pie' dan 'Bikin Wilayah'. M. Nasir pula merupakan penerbit utama album-album awal Search yang semuanya berjumlah sembilan album, termasuk sebagai penerbit bersama.

25. Sehingga hari ini Search adalah satu-satunya artis atau band di Malaysia yang menggunakan arca untuk kulit album. 'Rampage' yang diterbitkan pada 1992 menggunakan arca karya daripada sorang artis terkenal tanahair Bayu Utomo Radjikin. Karya ini di beri nama 'Bujang Berani'. Karya seni yang terhasil pada 1991 itu diperbuat daripada logam besi, diadun dengan 'plaster of paris'. Ia adalah karya yang menceritakan tentang keberanian dan kecekalan masyarakat Dayak iaitu golongan pribumi di Sarawak. Kulit album itu menjadi 'breaktrough' kepada stail rekaan cover album di Malaysia ketika itu yang masih lagi beku untuk mencari idea grafik yang unik dan radikal. Search sememangnye unggul sebagai perkarya seni negara, seperti mana arca tersebut yang sekarang masih gah berada di ruang pameran Balai Seni Lukis Negara.

26. Sepanjang 30 tahun Search di persada seni tanahair, sebanyak 12 buah studio digunakan bermula dari rakaman 'Cinta Buatan Malaysia' hingga kepada 'Gothik Malam Edan'. Lokasi studio tersebut adalah di Malaysia, Singapura dan Indonesia. Antara studio itu adalah Lion Studio di Singapura, Guins Studio di Jakarta, Indonesia dan Synchrosound Studio serta King's Studio di Malaysia.

27. Sepanjang penghasilan album, Search telah merakamkan kembali empat buah lagu tempatan dalam album mereka sebagai lagu cover seperti lagu 'Malam', 'Suratku Untukmu', 'Yale-yale' dan 'Ku Cuba'.

28. Lagu 'Songsang' merupakan lagu terakhir yang dirakamkan oleh Hillary dalam album Fenomena sebelum beliau mengambil keputusan keluar daripada Search pada ketika itu.

29. Secara keseluruhan Search pernah mencipta 49 buah lagu bersama komposer. Antara lagu ciptaan bersama ialah 'Nur Nilam Sari' iaitu Search bersama M. Nasir, 'Satu Bangsa Satu Arah' (Din/Kisto Bimbo), 'Manusia Reptilia' (Aceh/S. Amin Sahab),'Diari Habil dan Qabil' (Amy/Aceh), 'Selepas Banjir' (Yazid/Rafi) dan 'Musafir' (Man Kidal).

30. Loloq, S. Amin Shahab dan M. Nasir merupakan penyumbang utama lirik lagu-lagu Search iaitu sebanyak 3,027 lirik dan setiap seorang menyumbang 19 lirik.

31. Sepanjang 30 tahun dalam industri muzik, Search telah mencipta 23 buah lagu tidak termasuk ciptaan bersama untuk album mereka. Antara karya 'masterpiece' Search yang terus unggul sehingga hari ini 'Isabella', 'Rozanna', 'Emmanuelle', 'Melastik Ke Bintang', 'Nigina' dan 'Mentari Merah Di Ufuk Timur'.

32. Mengikut cerita Hillary, semasa membuat kerja rakaman solo lagu 'Fantasia Bulan Madu', ianya merupakan rakaman sementara sahaja. Dimaklumkan M. Nasir ketika itu hanya mengarahkan Hillary, "buat je apa-apa dulu, nanti kita rakam balik," tetapi sehingga album berkenaan disiapkan solo itu tidak dirakam semula. Dan sehingga kini, solo 'Fantasia Bulan Madu' merupakan antara solo berhantu yang dihasilkan Search! Argh!

33. Mengimbau kembali penubuhan Search pada 1981, ia dilancarkan di The Red Rooster Club dengan empat anggota : Yazit, Hillary, Nasir dan Amy. Selain di kelab tersebut mereka pernah bermain di Flamingo Club dan pernah menjadi band pengiring Sahara Yaakob. Kembali semula ke The Red Rooster Club, Hillary keluar dan digantikan dengan Man Kidal dan Din pula mengambil tempat sebagai gitar ritma. "Dia datang dengan keranda,"  petikan dari buku Fenomena Search (1989).

34. Bersesuaian dengan 'trend' industri muzik tanahair, Search banyak menggunakan tajuk lagu yang mempunyai perkataan 'cinta'. Antaranya adalah 'Cinta Buatan Malaysia'; 'Cinta Sepi'; 'Cinta Pertama'; 'Gelora Cintaku'; '... Cintaku Hilang Bisanya'; 'Cintaku Karya Tuhan'; 'Gurindam Cinta Khayam' dan 'Lara Tari Percinta...'.

35. M. Nasir merupakan satu nama yang tidak boleh dipisahkan dengan Search. Selain menjadi pencetus kepada terhasilnya 'Cinta Buatan Malaysia', beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Search sehingga mencapai kejayaan pada hari ini. Sepanjang berkhidmat dengan Search, M. Nasir mencipta 52 buah lagu tidak termasuk ciptaan bersama bermula dari 'Cinta Buatan Malaysia' sehingga 'Gothik Malam Edan'.

36. 'Feel The Pain' merupakan satu-satunya lagu bahasa Inggeris yang dirakamkan walaupun Search mempunyai beberapa lagu yang menggunakan bahasa antarabangsa berkenaan sebagai tajuk contohnya 'No Way' dan 'Paranoid'.

37. 'Langit dan Bumi' merupakan satu-satunya lagu yang dicipta oleh Ramli Sarip untuk Search manakala 'Musafir' pula merupakan satu-satunya lagu yang dihasilkan Man Kedal untuk Search. Kedua-dua buah lagu tersebut liriknya ditulis oleh S. Amin Shahab.

38. Amy merupakan 'perunding imej' bagi Search di awal kemunculan mereka. Tugas itu kemudian diambil alih oleh Norma Norell yang merupakan isteri Aziz Bakar semasa Search di bawah pengurusan Aziz Bakar iaitu era 'Fenomena'.

39. Tanggal 7 Oktober 1984 adalah tarikh rasmi Search menjadi artis rakaman dengan menandatangani kontrak bersama Polygram Records. Ketika itu Search dianggotai oleh Amy, Nasir, Man Kidal, Yan dan Din. Pengarah Urusan Polygram ketika itu ialah Mr. Eric Yeoh. Bagaimanapun pada 12 Jun 1985 mereka memperharui kontrak sebelum album pertama dikeluarkan atas nasihat Pengurus Hard Rock Cafe, Gary Chew. Sebulan selepas itu Search berkampung selama dua minggu di Lion Studio, Singapura untuk rakaman album pertama. Pada Ogos 1985, 'Cinta Buatan Malaysia' dikeluarkan.

40. Search banyak memuatkan lagu yang menggunakan nama wanita dan ada antaranya mempunyai kaitan dan merupakan kisah ahli-ahli band tesebut misalnya 'Rozanna'. Beberapa lagu lain yang menggunakan nama wanita sebagai tajuk ialah 'Isabella', 'Emmanuelle', 'Nigina', 'Nirmala', 'Laila Namamu Teratas', 'Nur Nilam Sari' dan 'Memoria Ana'.

41. Suara pembaca berita untuk intro lagu 'Musnah' merupakan suara Eddie Marzuki, penggubah lagu, penerbit dan pemain gitar yang terkenal hari ini.

42. Search adalah satu-satunye artis dari benua Asia yang terpilih untuk mengadakan persembahan bersama-sama artis dari seluruh pelusuk dunia di New Music Seminar New York, Amerika Syarikat (AS) pada Julai 1991. Ketika berada di AS, Kid dan Din sempat menghubungi gitaris terkenal, Vivian Campbell (Dio, Def Leppard, Sweet Savage, Thin Lizzy) untuk mengadakan pertemuan santai bagi bertukar idea tentang suasana muzik. Oleh kerana kesibukan Vivian yang ketika itu dalam proses rakaman projek bandnya Shadow King, komunikasi antara mereka hanya terjadi melalui telefon sahaja.

43. Zainal Rampa bukan individu yangg dikatakan pengasas Search. Ianya diakui sendiri oleh Zainal dan juga Hillary. Secara kebetulan sebelum penubuhan Search, Zainal dah Hillary pernah menganggotai sebuah kumpulan kelab di sekitar bandar Segamat yang memainkan lagu berentak blues dan funk pada akhir '70-an. Hillary kemudiannya menarik diri dari kumpulan tersebut dan pulang ke Johor Bahru mencari Yazid untuk menubuhkan sebuah kumpulan baru yang kemudiannya dikenali sebagai The Search dan seterusnya mencuba nasib di Kuala Lumpur.

44. Dalam satu sidang akhbar pada awal '90-an, salah seorang wartawan menanyakan pendapat Amy dan Kid mengenai kumpulan-kumpulan thrash metal seperti Metallica dan Slayer. Tetapi jawapan yang diberi tidak memuaskan dan berlaku sedikit suasana kurang 'selesa'. Pemberita tersebut adalah dari majalah Fantasi selain mempunyai band sendiri yang amat berbeza genre muzik dengan Search. Wartawan berkenaan ialah Azmi Bahari, vokalis Blackfire, kumpulan black metal pertama di negara ini dan juga bapa kepada ekstrem metal di Malaysia sejak 1984!

45. Pada Januari 2010, sebuah majalah baru dengan konsep rock dan metal diterbitkan dan dikatakan namanya diambil daripada tajuk album Search 'Karisma'. Majalah tersebut sedang ditatap oleh anda sekarang dan tidak juga menolak nama majalah ini diambil dari tajuk album Sabbat dari Jepun yang turut menamakan album mereka sebagai 'Karisma'.

Comments  

 
0 #6 vaniza 2012-09-13 02:30
40. Search banyak memuatkan lagu yang menggunakan nama wanita dan ada antaranya mempunyai kaitan dan merupakan kisah ahli-ahli band tesebut misalnya 'Rozanna'. Beberapa lagu lain yang menggunakan nama wanita sebagai tajuk ialah 'Isabella', 'Emmanuelle', 'Nigina', 'Nirmala', 'Laila Namamu Teratas', 'Nur Nilam Sari' dan 'Memoria Ana'.


nak komen psl no 40 tu...EMANUELLE bkn nama wanita ttp mrujuk kpd nama BAPAK AYAm yg uruskan placur , tq
Quote
 
 
0 #5 yeim 2012-04-16 12:42
akan ku milikinya...terbaik dari yang paling baik....tahniah!!!! penerbit & search....untuk peminat sejati.
Quote
 
 
0 #4 yeim 2012-04-16 12:39
pasti akan ku miliki terbaik dari yang paling baik....tahniah!!!! penerbit & search
Quote
 
 
0 #3 remy lc tong 2012-04-10 02:47
terbaik!!!!!!!! !!
lagi kolleksi SEARCH tuk dimiliki!!!!!!!
Quote
 
 
0 #2 fauzi 2012-04-01 22:58
:roll: caya la bro... :roll:
Quote
 
 
0 #1 dedy robin 2012-04-01 21:36
:lol: 8) kaset'y bisa gak dibeli di indonesia...??
Quote
 

Add comment


Security code
Refresh